theruralldeveloper

Friday, July 22, 2005

IKIM menyokong pengagihan kondom percuma

IKIM perjelas kondom percuma


PEMBERIAN kondom percuma kepada penagih dadah adalah isu kesihatan untuk mengekang penularan jangkitan HIV/Aids, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Syed Ali Tawfik al-Attas.


“Bagaimanapun, isu itu disalahkaitkan menjadi dua iaitu mengaitkan pemberian kondom percuma dengan menghalalkan zina dan satu lagi untuk mengekang penularan jangkitan HIV/Aids. Sebenarnya ia tidak boleh dikaitkan,” tegasnya.
Usaha yang bakal dilakukan kerajaan itu adalah demi kebaikan dan menjamin keselamatan masyarakat, sesuatu yang beradab dan wajar yang boleh membawa kepada keadilan ummah, katanya ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian kondom percuma kepada penagih adalah satu pembaziran dan lesen untuk menghalalkan zina.
Dr Syed Ali berpendapat, kerajaan telah mengemukakan garis panduan yang jelas dan syarat yang ketat mengenai pemberian kondom dan sewajarnya tiada masalah yang patut timbul.
Antara syarat itu ialah memastikan penagih mengisi borang dan menyatakan persetujuan bahawa mereka akan mengikuti program perintis itu bagi tempoh enam bulan, sesi kaunseling bahawa kondom bukannya lesen untuk menghalalkan zina, tetapi sebagai peringatan tangggung jawab untuk tidak menjangkiti diri dan orang lain dengan virus HIV/Aids melalui amalan seks.
Penagih juga perlu menjalani pemeriksaan perubatan kerana mereka yang menghisap dadah tidak tahu sama ada diri mereka dijangkiti HIV atau Hepatitis C.
Sambil menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian kondom menghalalkan zina, beliau berkata pendapat atau alasan itu adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Katanya, jika dikatakan kondom menggalakkan zina, ia seolah-olah membawa maksud bahawa kondom itu sendiri sebagai alat yang secara langsung tidak mengambil kira iradah manusia.
“Ini saya rasakan sesuatu yang tidak munasabah. Maksudnya, kalau tiada kondom, maka tiada zina? Tapi adakah ini berlaku?”, katanya.
Dr Syed Ali berkata, senario yang wujud dalam masyarakat hari ini boleh menjelaskan bahawa hakikat tiada kondom tiada zina, sebenarnya tidak timbul.
“Kalaulah pemberian kondom itu menggalakkan zina, katakan jika saya berikan kondom itu pada pihak yang mengatakan demikian, adakah pihak itu akan terpaksa melakukan perbuatan terkutuk itu?,” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan menekankan bahawa pemberian kondom adalah semata-mata untuk mengekang penularan HIV/Aids dan bukannya membanteras gejala itu.
“Soal membanteras HIV/Aids tidak diketengahkan langsung kerana masalah Aids belum lagi difahami dengan mendalam,” katanya.
Lagipun jika kerajaan mengeluarkan belanja, katakan RM100 juta untuk kaedah pemberian kondom, ia cumalah sebahagian kecil sahaja daripada biaya rawatan dan perubatan yang hingga kini, belum lagi terbukti keberkesanannya, jelas beliau.
Menyifatkan kaedah pemberian kondom sebagai sesuatu yang efektif dan murah, beliau percaya belum ada lagi rumusan yang lebih efektif daripada penggunaan kondom untuk mengelak jangkitan HIV/Aids melainkan penagih langsung tidak membabitkan diri dengan hubungan seks.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya berbangga kerana hanya negara ini, berbanding negara Islam lain, yang disifatkan lebih maju daripada segi pemikiran.
“Itulah sebabnya, negara Arab seperti ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selalu merujuk kepada Malaysia untuk mencari penyelesaian berikutan kebuntuan yang timbul daripada pemesongan pendapat Barat,” katanya.

dipetik dari berita harian 22 Julai 05

1 Comments:

At 6:55 PM, Blogger Mohd Nabil Majdi Al-Muslihi said...

Assalammualaikum.. mazli apa kabo.. jemput lawat blog aku.. www.muslihiman.blogspot.com

 

Post a Comment

<< Home