Masyarakat kita tidak bijak rebut peluang
SAYA ingin menarik perhatian rakyat Malaysia mengenai kegigihan warga asing yang pandai mengambil kesempatan mencari rezeki di negara ini, sedangkan rakyat kita sendiri asyik dengan hiburan atau hidup merempat.
Secara kebetulan baru-baru ini saya bercuti hujung minggu di rumah kakak saya di Shah Alam dan apa yang menarik perhatian ialah gelagat dua warga Bangladesh membawa dua tong menggunakan basikal dan melakukan kerja mencuci kereta dengan upah RM5.
Sambutan daripada penduduk pangsapuri amat menggalakkan. Sepanjang petang itu, saya mendapati mereka berjaya membasuh lebih daripada lima kereta, bermakna mereka memperoleh RM25 pada petang itu saja.
Kita sendiri tidak pernah melihat peluang seperti itu sebagai satu jalan mendapatkan sumber pendapatan sedangkan penduduk negara ini sendiri ramai yang merempat.
Penduduk kita sentiasa mengharapkan bantuan pihak tertentu sedangkan warga asing yang datang sama ada mereka masuk secara sah atau haram, bertindak mengambil apa saja peluang untuk hidup.
Teringat saya cerita seorang kawan mengenai pekerja Indonesia yang bekerja di kilang. Gaji yang diperoleh sebulan ialah RM750 dan daripada jumlah itu, RM50 diketepikan untuk membeli beras dan makanan setiap bulan, sayur pula diperoleh dari hutan berdekatan.
Setiap bulan dia menyimpan RM700 dan selepas setahun bekerja, dia berjaya mengumpul RM8,400. Duit yang diperoleh di Malaysia dibawa pulang ke Indonesia sebagai modal perniagaan di sana.
Sekarang dia berjaya membina rumah, membeli tanah dan membuka perniagaan sendiri. Kehidupannya berubah kini ekoran kegigihannya mengambil kesempatan yang ada di negara kita. Marilah kita renungkan bersama betapa kegigihan mereka sehingga boleh mengubah kehidupan mereka.
Orang dari negara lain membina kekayaan di negara kita sedang kebanyakan rakyat kita sendiri khususnya Melayu leka dengan dunia hiburan.
Saya yakin sekiranya ada kajian, pasti remaja Melayu yang lebih banyak menghantar SMS untuk program realiti TV berbanding orang lain. Orang Melayu terlalu mudah khayal dalam dunia keseronokan.
Bila ada isu mengenai kemiskinan, masalah dadah, buli, samseng dan masalah sosial, pastinya Melayu yang terbabit.
Wahai bangsaku, bangkit dari tidur yang lena itu, kalau tidak pasti kita akan menjadi bangsa yang ketinggalan di bumi sendiri. Seharusnya orang kita ini nampak peluang lain untuk berjaya dalam hidup yang sedang diambil oleh warga asing mahupun bangsa lain.
IWI KAMIDIN,
Shah Alam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home