theruralldeveloper

Wednesday, July 20, 2005

kuasa politik Melayu

kalam Dato' Onn Ja'far
Political power without Economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living. Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority.

Dato Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays ( Muka 220 Dato Onn Pengasas Kemerdekaan - Prof Ramlah Adam




Tidak dapat di nafikan lagi

Apakah salah bila Dato Onn Jaafar mengatakan bahawa kuasa politik tanpa kuasa ekonomi adalah bagai kulit tidak teras? Apakah sebenarnya harapan Dato Onn mahukan Melayu pada teras dan bukan kulit turut merujuk kepada pegangan ekonomi orang - orang Melayu yang harus di pertingkatkan? Apakah tidak kita dengan kesedaran tersebut berusaha dan berlumba melahirkan usahawan bumiputera segera demi menunjukkan bahawa pegangan ekuiti Melayu meningkat sungguhpun hakikat kualitatif penyertaan tidak menunjukkan pegangan utuh malah ampuh.

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha - usaha kerajaan wujud melalui kesedaran yang telah di nyatakan oleh Dato Onn Jaafar. Berbagai insentif di peruntukkan untuk orang - orang Melayu yang kini menjadi korporat besar - yang turut sepatutnya di haprak - kan juga oleh kepimpinan kita sebelum ini.

Namun hakikat - jutawan segera yang ada, dengan segala kemudahan yang di berikan hanya menyaksikan peratus pencapaian Melayu dalam pegangan ekonomi berada di takuk yang sama malah menurut dalam erti kata nilai sebenarnya. Melayu terus di tahap itu dan kegagalan Melayu ini di ambil oleh segelintir kepimpinan Melayu sebagai kebodohan Melayu yang meliputi sikap dan sifat Melayu itu sendiri. Maka hari ini Melayu di menerima pakai jenama baru - pemalas, haprak dan mudah lupa.

Susunan masyarakat

Kalau dahulu pecahan susunan masyarakat Melayu boleh di bahagiakan kepada 3 peringkat ia itu - golongan kepimpinan, golongan korporat dan rakyat marhaen. Namun kini pencantuman dua kelas antara kepimpinan dan korporat menjadikan Melayu itu tersusun kepada 2 susunan definisi masyarakat - golongan elitis pemilik dan rakyat yang dimiliki. Pencantuman 2 golongan - pemimpin politik dan korporat ini bagi saya mengejakan perkataan bahaya buat kita rakyat biasa. Elitis pemilik ini menggenggam dua bidang kuasa - pemilik kuasa politik dan pemilih modal yang akan menginterpretasi dasar menurut moral dan etika yang hanya bersesuaian untuk memenuhi kehendak elitis itu tadi. Mereka akhirnya menjadi penentu hidup, arah hidup, keadaan hidup dan memaksa kita menggugurkan apa yang kita sebut sebagai pegangan baik moral, tradisi mahupun pekerti itu sendiri. Tekanan yang di ertikan oleh saya sebagai diskriminasi, kerana kita tidak lagi boleh membuat pilihan, memberi pendapat dan mengaturkan kehendak sungguhpun kita adalah suara majoriti yang di katakan akan di bela oleh setiap kepimpinan. Bagi saya diskriminasi itu sendiri timbul bila elitis pemilik, mengaturkan kehendak tanpa sekatan kerana kekuatan kuasa politik tersebut turut di milik mereka baik secara langsung mahupun tidak.

Songsang mengertikan perjuangan

Hakikat perjuangan memerlukan pengorbanan dan atas pengorbanan itu menzahirkan kemanisan kejayaan - namun kini sudah di songsangkan. Melaung - laungkan perjuangan tanpa ada risiko bagi saya bukan definisi perjuangan yang sebenarnya. Memiliki kuasa untuk mengubah, memiliki kuasa untuk mencorak dan memiliki kuasa untuk menentukan tidak memerlukan perjuangan untuk menjayakan sesuatu yang memberi faedah kepada rakyat terbanyak. Mereka hanya perlu melaksanakan dan bukan memperjuangkan. Mereka yang memperjuangkan adalah mereka yang berusaha merobah, berusaha untuk memperbaiki dari nilai yang tiada kepada nilai yang ada. Perjuangan adalah untuk memastikan agar apa yang diperjuangkan dapat membantu, menaik taraf dan bertindak menuntut agar apa yang tiada dapat di adakan. Mereka menentang bentuk - bentuk diskriminasi, tekanan dan tindasan demi mencapai keadilan yang di fikirkan benar dan harus di kecapi. Mereka bukan dari elitis pemilik tetapi mereka berjuang apabila mereka mendapati bahawa elitis pemilik pincang dalam mengertikan kehendak rakyat.

Bagi saya yang mengejakan bahaya buat kita rakyat kebiasaan adalah apa yang dimiliki oleh elitis pemilik tadi. Mereka memegangkan kekuatan korporat dan ekonomi dan mereka juga memegang kuasa politik bagi menentukan hasrat mereka tercapai. Apabila kedua - dua kuasa diperolehi maka elitis pemilik ini bagaikan tuhan di bumi Malaysia, menentu, mencorak serta mampu melakukan diskriminasi sungguhpun konon - kononnya untuk memperjuangkan keadaan yang lebih baik kelak untuk rakyat Malaysia. Mereka gagal mengetahui apa yang perlu dan apa yang tidak perlu untuk rakyat. Mereka mendefinisikan kejayaan menurut erti mereka sendiri. Mereka berselindung atas nama kejayaan negara sedangkan pengertian kejayaan negara itu tidak tersalur kepada rakyat biasa yang semakin tertekan dan semakin gusar. Mereka turut berselindung untuk memberitahu rakyat hak mereka dan apa sepatutnya diperolehi oleh mereka, kerana hak sepatut telah rampas oleh mereka.

Elitis pemilik dan bahaya buat rakyat Malaysia

Sentimen biasa adalah perjuangan untuk rakyat Malaysia. Mereka hadir dari usaha kerajaan untuk membentuk khususnya jutawan Melayu bagi menentukan agar kuasa politik tidak di telan oleh kuasa ekonomi khususnya oleh bangsa - bangsa lain di negara ini. Itu hasrat dan dasar kepimpinan Melayu sewaktu itu. Beberapa kerat Melayu telah di pilih untuk meneruskan usaha menambahkan pegangan ekuiti Melayu. Satu perjuangan atau satu perlaksanaan? Namun dalam usaha kerajaan memberi berbagai kemudahan untuk tokoh - tokoh yang bakal menjadi ahli korporat ini ahli - ahli politik yang mempunyai kuasa untuk menentukan dasar pembahagian ekuiti antara orang - orang Melayu terserap dalam agenda korporat. Bagi yang kuat memapah pegangan nilai perjuangan, mereka ini akan di telan oleh tokoh - tokoh korporat tersebut untuk membolehkan elitis pemilik ini menggenggam kuasa politik. Lantas ini hanya menunjukkan bahawa kebenaran jangkaan Dato Onn dari satu sudut - kuasa ekonomi mampu menelan kuasa politik. Hari ini kuasa ekonomi menjadi penentu. Kuasa politik yang mempunyai tanggung jawab sosial lain untuk diperjuangkan kini mengukur kejayaan dari sudut akaun tahunan - kadar untung rugi dan indeks pasaran sahaja. Maka sebarang keputusan - keputusan akan melalui proses untung rugi kewangan dan bukan nilai - nilai kehidupan, kesejahteraan dan pekerti. Proses mengukur nilai kehidupan adalah dengan pegangan wang ringgit dan tidak kira bagaimana dan apa sumbernya. Dalam penyatuan ini maka kita akan lihat pemegang kuasa ekonomi ini , kini juga adalah pemerintahan negara ini. Setiap keputusan adalah untuk kebaikan negara sungguhpun rakyat tertekan. Pengukuran adalah kadar untung rugi, keputusan akan melihat kepentingan kewangan, pegangan pemodal dan nilai - nilai sosial terbiar yang hanya sekadar retorik bercerita.

Ini bagi saya adalah satu fenomena baru yang perlu di galas agar apa yang dikatakan sebagai tanggung jawab sosial tidak di ketepikan. Fenomena inilah yang saya diklasifikasikan sebagai elitis pemilik yang gagal melihat rakyat dari persepsi rakyat itu sendiri.

Kita dapat melihat contoh yang paling ketara apabila elitis pemilik ini membicarakan mengenai isu air. Apa yang di bincangkan adalah kos yang perlu di tambah dengan alasan paip perlu di ganti dan mendapatkan kualiti penyelenggaraan dengan nilai yang sentiasa dinaikkan untuk rakyat terus membayarnya. Tidak kedengaran langsung oleh mereka laungan rakyat yang mahukan penurunan tarif air dengan kualiti yang baik. Jawapan korporat yang paling sesuai menuruti semua teori perekonomian adalah - sekiranya mahukan perkhidmatan yang baik maka bayaran perlu di tingkatkan. Maka dengan keputusan elitis pemilik ini maka kadar air pasti dinaikkan, tanpa menghiraukan sama ada ini menjadi satu bebanan atau tidak. Keputusan mereka adalah rakyat perlu membayar untuk menampung kos dan keuntungan elitis tersebut. Banyak sistem dan cara lain yang boleh menjadi contoh bagaimana kualiti air dapat diperbaiki dengan tarif kadar yang di kenakan adalah murah tetapi kita lebih selesa dengan penswastaan yang rakyat bukan sahaja di kenakan kos untuk air malah untuk menampung keuntungan syarikat korporat tersebut. Bagi kita secara asas - keuntungan syarikat itu adalah kos buat kita dan kos ini akan menimbulkan "bebanan tidak perlu" untuk rakyat.

Pemilikan Melayu dan infrastruktur Cina

Idea untuk mengadakan jutawan Melayu bagi menjayakan pengiraan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan dan perekonomian adalah baik tetapi malang ianya tidak di sertai dengan kekuatan infrastruktur yang akhirnya akan di pegang oleh bangsa - bangsa asing khususnya kaum Cina. Bukan hasrat untuk mengkritik bangsa Cina kerana mereka berhak juga untuk menjayakan ekonomi bangsa mereka tetapi saya menggariskan realiti sebenarnya keadaan elitis pemilik khususnya Melayu. Mereka mencari untung dari rakyat dengan kontrak pemberian kerajaan yang mahu menjaga kepentingan rakyat tetapi setiap kontrak perlu disandarkan kepada kekuatan infrastruktur bangsa lain khususnya Cina. Elitis pemilik ini hanya memikirkan kewangan untuk syarikat mereka dan tidak ada garis panduan yang menetapkan tanggungjawab sosial mereka terhadap rakyat malah bagi saya tidak langsung memikirkan persoalan bangsa. Perniagaan elitis pemilik ini yang mampu saya klasifikasi sebagai Melayu yang lahir dari tongkat besar yang di beri tetapi akhirnya menyalahkan Melayu itu sendiri sebagai sentimen kurangnya kejayaan Melayu dalam perniagaan.

Kepada siapa rakyat merujuk

Penurunan upah bawa balik untuk sesebuah keluarga menyebabkan kualiti hidup keluarga itu berkurangan. Peningkatan kos dan bagi saya wang yang di keluarkan oleh rakyat bagi mencatatkan keuntungan syarikat - syarikat elitis pemilik ini membebankan. Namun kuasa politik yang sepatutnya mempunyai tanggungjawab sosial kini semakin terhapus dan yang tinggal hanyalah kuasa elitis pemilik tadi untuk menentukan corak dan perjalanan hidup rakyat.

Kepada siapa harus kita rujuk. Peningkatan bil air dan elektrik, kadar minyak dan bahan - bahan mentah yang turut melambung, bayaran tol dan desakan kos pelajaran anak - anak, rumah setinggan yang diduduki lebih 30 tahun yang melayakkan Melayu itu sekurang - kurang di beri peluang untuk memiliki harta di kota di hapuskan, aktiviti memindah kos bank - bank untuk dibiayai oleh rakyat supaya bank - bank tersebut ghairah mencatat untuk besar dan akhir sekali persoalan siapa pemilik syarikat gergasi tersebut kalau tidak kita label sebagai elitis pemilik tadi - mereka yang memiliki kuasa politik dan ekonomi, mereka yang memiliki kuasa ekonomi yang membeli kuasa politik dan mereka yang mempunyai kuasa ekonomi mengugut kuasa politik dan akhirnya pengiraan hanya dari sudut ekonomi yang membebankan rakyat atas hakikat kononnya untuk memajukan negara.

Kesedaran kita jadi penentu

Saudara - saudari yang saya muliakan,

Kuasanya adalah pada kesedaran kita. Kuasanya adalah pada penyatuan suara kita. Kita sebagai buruh, pengguna dan mereka yang rata - rata hidup atas kapasiti rakyat biasa mempunyai kuasa merubah. Saya juga akur kesilapan saya yang hanya memusatkan kepada perubahan dalam umno tetapi tidak melihat keadaan sekeliling. Saya baru di sedarkan bahawa sekiranya kita mempunyai suara pengguna yang utuh maka kita yang akan menentukan harga. Sekiranya kita mempunyai suara pekerja yang padu maka tidak terpinggir hak kita hanya kerana mereka membuat keuntungan.

Kita hanya perlukan kesedaran agar pemilik elitis tersebut di cabar dan semua tokoh korporat sedar bahawa peluh rakyat bukan keseluruhan keuntungan buat mereka. Kita mampu mendengar, mampu melihat dan mampu menentukan agar perkhidmatan yang di beri adalah untuk rakyat dengan kos yang selesa dan bukan kos yang akhirnya meletakkan syarikat korporat dengan indeks perolehan tinggi untuk kemudahan elitis pemilik tadi.

Saya berjanji pada diri saya, setelah agak lama kehilangan untuk bangkit menceritakan perubahan dan seterusnya penyatuan agar yang menjadi mangsa diskriminasi bukan kita lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home