theruralldeveloper

Friday, July 22, 2005

IKIM menyokong pengagihan kondom percuma

IKIM perjelas kondom percuma


PEMBERIAN kondom percuma kepada penagih dadah adalah isu kesihatan untuk mengekang penularan jangkitan HIV/Aids, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Syed Ali Tawfik al-Attas.


“Bagaimanapun, isu itu disalahkaitkan menjadi dua iaitu mengaitkan pemberian kondom percuma dengan menghalalkan zina dan satu lagi untuk mengekang penularan jangkitan HIV/Aids. Sebenarnya ia tidak boleh dikaitkan,” tegasnya.
Usaha yang bakal dilakukan kerajaan itu adalah demi kebaikan dan menjamin keselamatan masyarakat, sesuatu yang beradab dan wajar yang boleh membawa kepada keadilan ummah, katanya ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian kondom percuma kepada penagih adalah satu pembaziran dan lesen untuk menghalalkan zina.
Dr Syed Ali berpendapat, kerajaan telah mengemukakan garis panduan yang jelas dan syarat yang ketat mengenai pemberian kondom dan sewajarnya tiada masalah yang patut timbul.
Antara syarat itu ialah memastikan penagih mengisi borang dan menyatakan persetujuan bahawa mereka akan mengikuti program perintis itu bagi tempoh enam bulan, sesi kaunseling bahawa kondom bukannya lesen untuk menghalalkan zina, tetapi sebagai peringatan tangggung jawab untuk tidak menjangkiti diri dan orang lain dengan virus HIV/Aids melalui amalan seks.
Penagih juga perlu menjalani pemeriksaan perubatan kerana mereka yang menghisap dadah tidak tahu sama ada diri mereka dijangkiti HIV atau Hepatitis C.
Sambil menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian kondom menghalalkan zina, beliau berkata pendapat atau alasan itu adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Katanya, jika dikatakan kondom menggalakkan zina, ia seolah-olah membawa maksud bahawa kondom itu sendiri sebagai alat yang secara langsung tidak mengambil kira iradah manusia.
“Ini saya rasakan sesuatu yang tidak munasabah. Maksudnya, kalau tiada kondom, maka tiada zina? Tapi adakah ini berlaku?”, katanya.
Dr Syed Ali berkata, senario yang wujud dalam masyarakat hari ini boleh menjelaskan bahawa hakikat tiada kondom tiada zina, sebenarnya tidak timbul.
“Kalaulah pemberian kondom itu menggalakkan zina, katakan jika saya berikan kondom itu pada pihak yang mengatakan demikian, adakah pihak itu akan terpaksa melakukan perbuatan terkutuk itu?,” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan menekankan bahawa pemberian kondom adalah semata-mata untuk mengekang penularan HIV/Aids dan bukannya membanteras gejala itu.
“Soal membanteras HIV/Aids tidak diketengahkan langsung kerana masalah Aids belum lagi difahami dengan mendalam,” katanya.
Lagipun jika kerajaan mengeluarkan belanja, katakan RM100 juta untuk kaedah pemberian kondom, ia cumalah sebahagian kecil sahaja daripada biaya rawatan dan perubatan yang hingga kini, belum lagi terbukti keberkesanannya, jelas beliau.
Menyifatkan kaedah pemberian kondom sebagai sesuatu yang efektif dan murah, beliau percaya belum ada lagi rumusan yang lebih efektif daripada penggunaan kondom untuk mengelak jangkitan HIV/Aids melainkan penagih langsung tidak membabitkan diri dengan hubungan seks.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya berbangga kerana hanya negara ini, berbanding negara Islam lain, yang disifatkan lebih maju daripada segi pemikiran.
“Itulah sebabnya, negara Arab seperti ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selalu merujuk kepada Malaysia untuk mencari penyelesaian berikutan kebuntuan yang timbul daripada pemesongan pendapat Barat,” katanya.

dipetik dari berita harian 22 Julai 05

Thursday, July 21, 2005

Bahaya Membudayakan Unsur Hiburan

DALAM era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat, nilai Barat yang negatif dan bertentangan dengan Islam dengan senang menular dan mempengaruhi masyarakat Malaysia. Ditambah pula dengan lemahnya iman dan kekuatan jati diri, seseorang individu itu akan mudah terpikat dan terikut-ikut dengan godaan dan hawa nafsu.




Sikap memandang remeh kepada masalah besar seperti gejala sosial boleh mengundang padah. Budaya berhibur yang keterlaluan (entertainment culture) dan budaya hedonisme (berseronok) yang merupakan antara faktor kejatuhan tamadun Greek boleh turut meruntuhkan tamadun Melayu Islam.

Image hosted by Photobucket.com



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada pemberita selepas memberi ceramah di sebuah sekolah di Seremban baru-baru ini berkata, jika kita belajar agama, kita akan menjadi manusia yang berjaya apabila menggunakan al-Quran dalam kehidupan seharian kerana Islam itu adalah cara hidup.

“Pelajaran agama penting kerana Islam adalah cara hidup dan kalau mengikut cara hidup Islam, kita tidak akan gagal, kalau tidak ikut, kita akan gagal,” katanya,

Menjawab soalan mengenai masalah sosial dan jenayah membabitkan pelajar sekolah yang meningkat, Dr Mahathir berkata, sebahagian adalah disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sebahagian lagi adalah disebabkan persekitaran.

Beliau berkata, penggunaan internet adalah untuk mendapatkan ilmu dan informasi tetapi internet juga boleh diakses untuk pornografi.

“Kita boleh sekat, boleh tapis seperti di negara China dan Jerman. Kita boleh buat kerana pada masa ini remaja berusia 15 dan 16 tahun pun tengok, mereka jadi macam gila apabila nampak perempuan.

“Keadaan persekitaran pada masa ini juga adalah sangat teruk dan kita perlu mengenakan tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah dengan mengenakan hukuman berat. Moral kita pada masa ini sudah teruk, sudah runtuh, tak ada moral langsung.

“Kalau ada undang-undang tak kuatkuasa pun tak guna. Perkara utama dalam hal ini bukan undang-undang sahaja tetapi peranan yang perlu kita mainkan seperti ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Berpegang kepada kata-kata bekas perdana menteri itu, pembanterasan gejala sosial itu adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan sahaja diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan.

Komitmen semua pihak diperlukan bagi mewujudkan satu tindakan bersepadu sesama agensi kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.

Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir Abdullah ketika membentangkan kertas kerja berkaitan menangani gejala sosial menurut perspektif Islam di Melaka, baru-baru ini berkata, semua pihak mesti berasa risau dengn gejala sosial kerana takut Allah akan menghancurkan binasakan semua kita.

Seperti firman Allah s.w.t yang katanya bermaksud: “Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat) lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkan sehancur-hancurnya.”

Sehubungan itu, dalam menghadapi gejala sosial yang melanda negara kita ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama kerana semua pihak akan terpalit jika ditimpa musibah.

Dalam menangani gejala sosial, satu pelan bertindak yang rapi serta tindakan yang berterusan perlu diambil dalam usaha untuk menangani feneomena gejala sosial di kalangan masyarakat kita.

Kerajaan, pihak berwajib, pemimpin, masyarakat, guru dan pensyarah, ibu bapa dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam menangani permasalah berkenaan.

Ibu bapa yang tidak memantau dan mengambil berat perkembangan sosial anak-anak adalah antara punca mengapa remaja kita mudah terjebak dalam gejala sosial.

Dr Amini Amir berkata, ibu bapa yang terlalu mengikut kehendak anak hingga dibiarkan bebas boleh menyebabkan anak berada di luar kawalan dan bertindak di luar daripada batasan agama.

Banyak gejala sosial yang berkait rapat dengan kurangnya pengawasan dan kawalan terhadap kehendak dan perbuatan anak.

Sehubungan itu, katanya, selepas ibu bapa berusaha untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah anak, ibu bapa perlu berdoa dan bertawakal serta berserah diri kepada Allah.

Persoalannya sekarang, sikap anak kita banyak berpunca daripada didikan keagamaan dan kerohanian yang tidak seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Dalam hal ini, Dr Amini Amir berkata, gambaran yang diperolehi daripada persekitaran dan masyarakat kita hari ini ialah salah faham terhadap konsep kebebasan di kalangan anak dan ibu bapa banyak mempengaruhi faktor kepada meruncingknya gejala sosial ini.

Menurutnya, konsep kebebasan Bbarat perlu digantikan dengan konsep kebebasan Islam kerana ibu bapa yang sayang kepada anak adalah mereka yang menjaga, mendidik, mengasuh dan memberi pendidikan yang sewajarnya kepada anak.

Pada masa ini apa yang kita lihat ialah ramai ibu bapa dan anak yang tidak memahami tanggungjawab masing-masing sehingga menjadi antara faktor berlaku gejala sosial.

Fenomena ini adalah kerana tuntutan kehidupan masyarakat pada hari ini yang lebih banyak berkisar kepada mengejar kebendaan sehingga melupakan kepada keperluan kehidupan itu sendiri yang perlu diisi supaya tidak lari daripada tuntutan kehidupan sebenarnya.

Pihak berwajib perlu melihat keseimbangan kemajuan dan pembangunan insan dalam aspek pembangunan rohani, jasmani, emosi, fizikal, mental dan spiritual.

Kebebasan yang keterlaluan yang diberikan kepada generasi pasca merdeka banyak dikesan disalahgunakan dan semakin dilihat melalaikan sehingga menjadi duri dalam daging kepada kehidupan anak muda pada masa ini yang menyumbang kepada banyak kes gejala sosial di Malaysia.

Hiburan terlalu dipentingkan dan dibudayakan hingga masyarakat hilang budaya untuk mengagungkan budaya ilmu dan pembelajaran serta lari daripada tujuan kehidupan sebenar dan hanya suka kepada keseronokan yang sementara.

-dipetik dari www.raudhah.com

Masyarakat kita tidak bijak rebut peluang

SAYA ingin menarik perhatian rakyat Malaysia mengenai kegigihan warga asing yang pandai mengambil kesempatan mencari rezeki di negara ini, sedangkan rakyat kita sendiri asyik dengan hiburan atau hidup merempat.

Secara kebetulan baru-baru ini saya bercuti hujung minggu di rumah kakak saya di Shah Alam dan apa yang menarik perhatian ialah gelagat dua warga Bangladesh membawa dua tong menggunakan basikal dan melakukan kerja mencuci kereta dengan upah RM5.
Sambutan daripada penduduk pangsapuri amat menggalakkan. Sepanjang petang itu, saya mendapati mereka berjaya membasuh lebih daripada lima kereta, bermakna mereka memperoleh RM25 pada petang itu saja.

Kita sendiri tidak pernah melihat peluang seperti itu sebagai satu jalan mendapatkan sumber pendapatan sedangkan penduduk negara ini sendiri ramai yang merempat.
Penduduk kita sentiasa mengharapkan bantuan pihak tertentu sedangkan warga asing yang datang sama ada mereka masuk secara sah atau haram, bertindak mengambil apa saja peluang untuk hidup.

Teringat saya cerita seorang kawan mengenai pekerja Indonesia yang bekerja di kilang. Gaji yang diperoleh sebulan ialah RM750 dan daripada jumlah itu, RM50 diketepikan untuk membeli beras dan makanan setiap bulan, sayur pula diperoleh dari hutan berdekatan.
Setiap bulan dia menyimpan RM700 dan selepas setahun bekerja, dia berjaya mengumpul RM8,400. Duit yang diperoleh di Malaysia dibawa pulang ke Indonesia sebagai modal perniagaan di sana.

Sekarang dia berjaya membina rumah, membeli tanah dan membuka perniagaan sendiri. Kehidupannya berubah kini ekoran kegigihannya mengambil kesempatan yang ada di negara kita. Marilah kita renungkan bersama betapa kegigihan mereka sehingga boleh mengubah kehidupan mereka.

Orang dari negara lain membina kekayaan di negara kita sedang kebanyakan rakyat kita sendiri khususnya Melayu leka dengan dunia hiburan.
Saya yakin sekiranya ada kajian, pasti remaja Melayu yang lebih banyak menghantar SMS untuk program realiti TV berbanding orang lain. Orang Melayu terlalu mudah khayal dalam dunia keseronokan.






Bila ada isu mengenai kemiskinan, masalah dadah, buli, samseng dan masalah sosial, pastinya Melayu yang terbabit.
Wahai bangsaku, bangkit dari tidur yang lena itu, kalau tidak pasti kita akan menjadi bangsa yang ketinggalan di bumi sendiri. Seharusnya orang kita ini nampak peluang lain untuk berjaya dalam hidup yang sedang diambil oleh warga asing mahupun bangsa lain.

IWI KAMIDIN,
Shah Alam.

Wednesday, July 20, 2005

KESIHATAN : KANSER

1. Apa itu kanser?

Kanser ialah sel yang terhasil secara tidak normal dalam badan seseorang. Satu kelompok sel kanser dipanggil tumor dan jika tidak dirawat ia boleh membesar dan merebak ke anggota badan yang lain.

Tumor tidak berguna kepada badan, sebaliknya ia mengganggu dan ‘mencuri’ zat daripada sel lain serta boleh membahayakan nyawa pesakit. Sel kanser tidak mempunyai bentuk khas, wujud dalam pelbagai saiz dan berbeza daripada sel sihat yang mempunyai bentuk seragam. Ia boleh dilihat dengan jelas di bawah mikroskop.

2. Apakah leukemia?

Leukemia ialah kanser sel darah putih. Ia dikategorikan ‘kanser luar biasa’ kerana tidak mempunyai tumor. Walaupun sel ini ada dalam darah, tetapi tidak bermakna pesakit yang menghidap kanser jenis lain akan mendapat leukemia.

3. Apa yang menyebabkan kanser?

Punca sebenar bagaimana dan mengapa pertumbuhan sel yang tidak terkawal berlaku masih tidak diketahui. Bagaimanapun, kajian mendapati ia ada kaitan dengan tabiat, gaya hidup, pemakanan dan faktor geografi, seperti kanser paru-paru dikaitkan dengan tabiat merokok (ia sebenarnya boleh dielakkan).

4. Bagaimana kanser merebak?

Sel kanser akan membuat ‘laluan’ sendiri dan menjangkiti dari satu tisu ke tisu lain. Lama kelamaan sel kanser yang bertambah banyak akan merebak dari kawasan permulaan ke organ lain melalui saluran darah atau sistem limfa. Rawatan awal boleh mencegah masalah ini.

5. Bolehkah ia diwarisi?

Secara umumnya, kanser tidak boleh diwarisi. Bagaimanapun, individu yang ada sejarah keluarga mempunyai risiko, tetapi anak tidak semestinya mendapat kanser. Paling penting, sel kanser juga tidak akan menjangkiti orang lain, walaupun melalui pemindahan darah.

6. Adakah semua tumor itu akan menjadi kanser?

Tidak. Tumor ada dua jenis: benigna dan malignan. Tumor benigna bermakna ia tidak merebak dan jarang berbahaya seperti ketuat dan sista. Tumor malignan pula akan merebak ke organ lain dan membesar sendiri sehingga menjadi barah.

7. Adakah semua kanser sama?

Tidak. Ada banyak jenis kanser yang menyerang organ badan. Sesetengah jenis kanser tumbuh perlahan, tetapi ada yang merebak cepat. Berlainan jenis kanser memberi kadar tindak balas berbeza terhadap rawatan.

8. Bolehkah kanser diubati?

Ya. Ramai penduduk Malaysia sembuh daripada kanser. Peluangnya berbeza mengikut jenis kanser, tetapi lebih awal ia dirawat peluangnya untuk sembuh lebih tinggi.

9. Bolehkah ia dikesan awal dan dirawat?

Ya, jika pesakit tahu tanda awal dan menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik menyedarinya. Namun, kebanyakan orang mengabaikan tanda awal ini sehingga penyakit sudah merebak ke peringkat berbahaya.

10. Apakah tanda amaran kanser?

Senarai di bawah hanya tanda umum. Bagaimanapun, tanda ini juga boleh muncul bersama ketumbuhan benigna seperti ketulan pada payudara. Pun begitu, sebaik menyedari tanda ini, segera jalani pemeriksaan kesihatan

June 10, 2005 | Permalink | Comments (0)

kuasa politik Melayu

kalam Dato' Onn Ja'far
Political power without Economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living. Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority.

Dato Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays ( Muka 220 Dato Onn Pengasas Kemerdekaan - Prof Ramlah Adam




Tidak dapat di nafikan lagi

Apakah salah bila Dato Onn Jaafar mengatakan bahawa kuasa politik tanpa kuasa ekonomi adalah bagai kulit tidak teras? Apakah sebenarnya harapan Dato Onn mahukan Melayu pada teras dan bukan kulit turut merujuk kepada pegangan ekonomi orang - orang Melayu yang harus di pertingkatkan? Apakah tidak kita dengan kesedaran tersebut berusaha dan berlumba melahirkan usahawan bumiputera segera demi menunjukkan bahawa pegangan ekuiti Melayu meningkat sungguhpun hakikat kualitatif penyertaan tidak menunjukkan pegangan utuh malah ampuh.

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha - usaha kerajaan wujud melalui kesedaran yang telah di nyatakan oleh Dato Onn Jaafar. Berbagai insentif di peruntukkan untuk orang - orang Melayu yang kini menjadi korporat besar - yang turut sepatutnya di haprak - kan juga oleh kepimpinan kita sebelum ini.

Namun hakikat - jutawan segera yang ada, dengan segala kemudahan yang di berikan hanya menyaksikan peratus pencapaian Melayu dalam pegangan ekonomi berada di takuk yang sama malah menurut dalam erti kata nilai sebenarnya. Melayu terus di tahap itu dan kegagalan Melayu ini di ambil oleh segelintir kepimpinan Melayu sebagai kebodohan Melayu yang meliputi sikap dan sifat Melayu itu sendiri. Maka hari ini Melayu di menerima pakai jenama baru - pemalas, haprak dan mudah lupa.

Susunan masyarakat

Kalau dahulu pecahan susunan masyarakat Melayu boleh di bahagiakan kepada 3 peringkat ia itu - golongan kepimpinan, golongan korporat dan rakyat marhaen. Namun kini pencantuman dua kelas antara kepimpinan dan korporat menjadikan Melayu itu tersusun kepada 2 susunan definisi masyarakat - golongan elitis pemilik dan rakyat yang dimiliki. Pencantuman 2 golongan - pemimpin politik dan korporat ini bagi saya mengejakan perkataan bahaya buat kita rakyat biasa. Elitis pemilik ini menggenggam dua bidang kuasa - pemilik kuasa politik dan pemilih modal yang akan menginterpretasi dasar menurut moral dan etika yang hanya bersesuaian untuk memenuhi kehendak elitis itu tadi. Mereka akhirnya menjadi penentu hidup, arah hidup, keadaan hidup dan memaksa kita menggugurkan apa yang kita sebut sebagai pegangan baik moral, tradisi mahupun pekerti itu sendiri. Tekanan yang di ertikan oleh saya sebagai diskriminasi, kerana kita tidak lagi boleh membuat pilihan, memberi pendapat dan mengaturkan kehendak sungguhpun kita adalah suara majoriti yang di katakan akan di bela oleh setiap kepimpinan. Bagi saya diskriminasi itu sendiri timbul bila elitis pemilik, mengaturkan kehendak tanpa sekatan kerana kekuatan kuasa politik tersebut turut di milik mereka baik secara langsung mahupun tidak.

Songsang mengertikan perjuangan

Hakikat perjuangan memerlukan pengorbanan dan atas pengorbanan itu menzahirkan kemanisan kejayaan - namun kini sudah di songsangkan. Melaung - laungkan perjuangan tanpa ada risiko bagi saya bukan definisi perjuangan yang sebenarnya. Memiliki kuasa untuk mengubah, memiliki kuasa untuk mencorak dan memiliki kuasa untuk menentukan tidak memerlukan perjuangan untuk menjayakan sesuatu yang memberi faedah kepada rakyat terbanyak. Mereka hanya perlu melaksanakan dan bukan memperjuangkan. Mereka yang memperjuangkan adalah mereka yang berusaha merobah, berusaha untuk memperbaiki dari nilai yang tiada kepada nilai yang ada. Perjuangan adalah untuk memastikan agar apa yang diperjuangkan dapat membantu, menaik taraf dan bertindak menuntut agar apa yang tiada dapat di adakan. Mereka menentang bentuk - bentuk diskriminasi, tekanan dan tindasan demi mencapai keadilan yang di fikirkan benar dan harus di kecapi. Mereka bukan dari elitis pemilik tetapi mereka berjuang apabila mereka mendapati bahawa elitis pemilik pincang dalam mengertikan kehendak rakyat.

Bagi saya yang mengejakan bahaya buat kita rakyat kebiasaan adalah apa yang dimiliki oleh elitis pemilik tadi. Mereka memegangkan kekuatan korporat dan ekonomi dan mereka juga memegang kuasa politik bagi menentukan hasrat mereka tercapai. Apabila kedua - dua kuasa diperolehi maka elitis pemilik ini bagaikan tuhan di bumi Malaysia, menentu, mencorak serta mampu melakukan diskriminasi sungguhpun konon - kononnya untuk memperjuangkan keadaan yang lebih baik kelak untuk rakyat Malaysia. Mereka gagal mengetahui apa yang perlu dan apa yang tidak perlu untuk rakyat. Mereka mendefinisikan kejayaan menurut erti mereka sendiri. Mereka berselindung atas nama kejayaan negara sedangkan pengertian kejayaan negara itu tidak tersalur kepada rakyat biasa yang semakin tertekan dan semakin gusar. Mereka turut berselindung untuk memberitahu rakyat hak mereka dan apa sepatutnya diperolehi oleh mereka, kerana hak sepatut telah rampas oleh mereka.

Elitis pemilik dan bahaya buat rakyat Malaysia

Sentimen biasa adalah perjuangan untuk rakyat Malaysia. Mereka hadir dari usaha kerajaan untuk membentuk khususnya jutawan Melayu bagi menentukan agar kuasa politik tidak di telan oleh kuasa ekonomi khususnya oleh bangsa - bangsa lain di negara ini. Itu hasrat dan dasar kepimpinan Melayu sewaktu itu. Beberapa kerat Melayu telah di pilih untuk meneruskan usaha menambahkan pegangan ekuiti Melayu. Satu perjuangan atau satu perlaksanaan? Namun dalam usaha kerajaan memberi berbagai kemudahan untuk tokoh - tokoh yang bakal menjadi ahli korporat ini ahli - ahli politik yang mempunyai kuasa untuk menentukan dasar pembahagian ekuiti antara orang - orang Melayu terserap dalam agenda korporat. Bagi yang kuat memapah pegangan nilai perjuangan, mereka ini akan di telan oleh tokoh - tokoh korporat tersebut untuk membolehkan elitis pemilik ini menggenggam kuasa politik. Lantas ini hanya menunjukkan bahawa kebenaran jangkaan Dato Onn dari satu sudut - kuasa ekonomi mampu menelan kuasa politik. Hari ini kuasa ekonomi menjadi penentu. Kuasa politik yang mempunyai tanggung jawab sosial lain untuk diperjuangkan kini mengukur kejayaan dari sudut akaun tahunan - kadar untung rugi dan indeks pasaran sahaja. Maka sebarang keputusan - keputusan akan melalui proses untung rugi kewangan dan bukan nilai - nilai kehidupan, kesejahteraan dan pekerti. Proses mengukur nilai kehidupan adalah dengan pegangan wang ringgit dan tidak kira bagaimana dan apa sumbernya. Dalam penyatuan ini maka kita akan lihat pemegang kuasa ekonomi ini , kini juga adalah pemerintahan negara ini. Setiap keputusan adalah untuk kebaikan negara sungguhpun rakyat tertekan. Pengukuran adalah kadar untung rugi, keputusan akan melihat kepentingan kewangan, pegangan pemodal dan nilai - nilai sosial terbiar yang hanya sekadar retorik bercerita.

Ini bagi saya adalah satu fenomena baru yang perlu di galas agar apa yang dikatakan sebagai tanggung jawab sosial tidak di ketepikan. Fenomena inilah yang saya diklasifikasikan sebagai elitis pemilik yang gagal melihat rakyat dari persepsi rakyat itu sendiri.

Kita dapat melihat contoh yang paling ketara apabila elitis pemilik ini membicarakan mengenai isu air. Apa yang di bincangkan adalah kos yang perlu di tambah dengan alasan paip perlu di ganti dan mendapatkan kualiti penyelenggaraan dengan nilai yang sentiasa dinaikkan untuk rakyat terus membayarnya. Tidak kedengaran langsung oleh mereka laungan rakyat yang mahukan penurunan tarif air dengan kualiti yang baik. Jawapan korporat yang paling sesuai menuruti semua teori perekonomian adalah - sekiranya mahukan perkhidmatan yang baik maka bayaran perlu di tingkatkan. Maka dengan keputusan elitis pemilik ini maka kadar air pasti dinaikkan, tanpa menghiraukan sama ada ini menjadi satu bebanan atau tidak. Keputusan mereka adalah rakyat perlu membayar untuk menampung kos dan keuntungan elitis tersebut. Banyak sistem dan cara lain yang boleh menjadi contoh bagaimana kualiti air dapat diperbaiki dengan tarif kadar yang di kenakan adalah murah tetapi kita lebih selesa dengan penswastaan yang rakyat bukan sahaja di kenakan kos untuk air malah untuk menampung keuntungan syarikat korporat tersebut. Bagi kita secara asas - keuntungan syarikat itu adalah kos buat kita dan kos ini akan menimbulkan "bebanan tidak perlu" untuk rakyat.

Pemilikan Melayu dan infrastruktur Cina

Idea untuk mengadakan jutawan Melayu bagi menjayakan pengiraan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan dan perekonomian adalah baik tetapi malang ianya tidak di sertai dengan kekuatan infrastruktur yang akhirnya akan di pegang oleh bangsa - bangsa asing khususnya kaum Cina. Bukan hasrat untuk mengkritik bangsa Cina kerana mereka berhak juga untuk menjayakan ekonomi bangsa mereka tetapi saya menggariskan realiti sebenarnya keadaan elitis pemilik khususnya Melayu. Mereka mencari untung dari rakyat dengan kontrak pemberian kerajaan yang mahu menjaga kepentingan rakyat tetapi setiap kontrak perlu disandarkan kepada kekuatan infrastruktur bangsa lain khususnya Cina. Elitis pemilik ini hanya memikirkan kewangan untuk syarikat mereka dan tidak ada garis panduan yang menetapkan tanggungjawab sosial mereka terhadap rakyat malah bagi saya tidak langsung memikirkan persoalan bangsa. Perniagaan elitis pemilik ini yang mampu saya klasifikasi sebagai Melayu yang lahir dari tongkat besar yang di beri tetapi akhirnya menyalahkan Melayu itu sendiri sebagai sentimen kurangnya kejayaan Melayu dalam perniagaan.

Kepada siapa rakyat merujuk

Penurunan upah bawa balik untuk sesebuah keluarga menyebabkan kualiti hidup keluarga itu berkurangan. Peningkatan kos dan bagi saya wang yang di keluarkan oleh rakyat bagi mencatatkan keuntungan syarikat - syarikat elitis pemilik ini membebankan. Namun kuasa politik yang sepatutnya mempunyai tanggungjawab sosial kini semakin terhapus dan yang tinggal hanyalah kuasa elitis pemilik tadi untuk menentukan corak dan perjalanan hidup rakyat.

Kepada siapa harus kita rujuk. Peningkatan bil air dan elektrik, kadar minyak dan bahan - bahan mentah yang turut melambung, bayaran tol dan desakan kos pelajaran anak - anak, rumah setinggan yang diduduki lebih 30 tahun yang melayakkan Melayu itu sekurang - kurang di beri peluang untuk memiliki harta di kota di hapuskan, aktiviti memindah kos bank - bank untuk dibiayai oleh rakyat supaya bank - bank tersebut ghairah mencatat untuk besar dan akhir sekali persoalan siapa pemilik syarikat gergasi tersebut kalau tidak kita label sebagai elitis pemilik tadi - mereka yang memiliki kuasa politik dan ekonomi, mereka yang memiliki kuasa ekonomi yang membeli kuasa politik dan mereka yang mempunyai kuasa ekonomi mengugut kuasa politik dan akhirnya pengiraan hanya dari sudut ekonomi yang membebankan rakyat atas hakikat kononnya untuk memajukan negara.

Kesedaran kita jadi penentu

Saudara - saudari yang saya muliakan,

Kuasanya adalah pada kesedaran kita. Kuasanya adalah pada penyatuan suara kita. Kita sebagai buruh, pengguna dan mereka yang rata - rata hidup atas kapasiti rakyat biasa mempunyai kuasa merubah. Saya juga akur kesilapan saya yang hanya memusatkan kepada perubahan dalam umno tetapi tidak melihat keadaan sekeliling. Saya baru di sedarkan bahawa sekiranya kita mempunyai suara pengguna yang utuh maka kita yang akan menentukan harga. Sekiranya kita mempunyai suara pekerja yang padu maka tidak terpinggir hak kita hanya kerana mereka membuat keuntungan.

Kita hanya perlukan kesedaran agar pemilik elitis tersebut di cabar dan semua tokoh korporat sedar bahawa peluh rakyat bukan keseluruhan keuntungan buat mereka. Kita mampu mendengar, mampu melihat dan mampu menentukan agar perkhidmatan yang di beri adalah untuk rakyat dengan kos yang selesa dan bukan kos yang akhirnya meletakkan syarikat korporat dengan indeks perolehan tinggi untuk kemudahan elitis pemilik tadi.

Saya berjanji pada diri saya, setelah agak lama kehilangan untuk bangkit menceritakan perubahan dan seterusnya penyatuan agar yang menjadi mangsa diskriminasi bukan kita lagi.

Thursday, July 14, 2005

hiburan melampau

Image hosted by Photobucket.com

Ramai yang menyatakan bahawa hiburan tidak salah di sisi islam. Dan memang kita akui bahawa islam bukan anti kepada hiburan kalau kena caranya.Tetapi apakah hiburan yang ada sekarang ini mengikuti cara yang dibenarkan dalam islam.Kita menyatakan bahawa hiburan yang ada sekarang ini terlalu melampau.

Kebimbangan kita terhadap anak-anak muda sekarang ini begitu meruncing gara-gara hiburan ini. Bahkan ianya bukan sahaja menular dikalangan anak-anak muda sahaja tetapi turut terlibat juga bapa dan ibu kepada anak-anak muda ini.Kalau dahulu ibu bapa bangga terhadap anaknya apabila keluar daripada institusi pengajian tinggi,tetapi sekarang ini mereka terlalu bangga apabila anak-anak mereka keluar sebagai penyanyi mahupun penghibur diluar sana.Tengok sahaja realiti yang ada sekarang ini,pelbagai bentuk hiburan yang dijadikan sandaran kepada anak-anak muda.

Kesungguhan kita terhadap pembinaan generasi muslim yang kuat terencat gara-gara bentuk hiburan ini. Keimanan dan ketakwaan mudah direnggut gara-gara bentuk hiburan ini yang boleh menjadi agen kepada kerosakan akhlak remaja kini.Semua pihak harus mengambil berat akan situasi ini.Bagaimanakah kita ingin melahirkan mereka-mereka yang akan menjadi pencorak kepada agama,negara dan bangsa ini sekiranya situasi ini tidak dirubah.

Bagaimana mungkin kita ingin merealisasikan perjalanan islam hadhari dengan terbaik sekiranya tidakdisekat agen-agen perosak akhlak ini. Dan bagaimana mungkin kita ingin melahirkan generasi cemerlang,gemilang dan terbilang andainya unsur-unsur ini sudah melekat di dalam sanubari anak-anak muda kini?
wallahua'lam