DALAM era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat, nilai Barat yang negatif dan bertentangan dengan Islam dengan senang menular dan mempengaruhi masyarakat Malaysia. Ditambah pula dengan lemahnya iman dan kekuatan jati diri, seseorang individu itu akan mudah terpikat dan terikut-ikut dengan godaan dan hawa nafsu.
Sikap memandang remeh kepada masalah besar seperti gejala sosial boleh mengundang padah. Budaya berhibur yang keterlaluan (entertainment culture) dan budaya hedonisme (berseronok) yang merupakan antara faktor kejatuhan tamadun Greek boleh turut meruntuhkan tamadun Melayu Islam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada pemberita selepas memberi ceramah di sebuah sekolah di Seremban baru-baru ini berkata, jika kita belajar agama, kita akan menjadi manusia yang berjaya apabila menggunakan al-Quran dalam kehidupan seharian kerana Islam itu adalah cara hidup.
“Pelajaran agama penting kerana Islam adalah cara hidup dan kalau mengikut cara hidup Islam, kita tidak akan gagal, kalau tidak ikut, kita akan gagal,” katanya,
Menjawab soalan mengenai masalah sosial dan jenayah membabitkan pelajar sekolah yang meningkat, Dr Mahathir berkata, sebahagian adalah disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sebahagian lagi adalah disebabkan persekitaran.
Beliau berkata, penggunaan internet adalah untuk mendapatkan ilmu dan informasi tetapi internet juga boleh diakses untuk pornografi.
“Kita boleh sekat, boleh tapis seperti di negara China dan Jerman. Kita boleh buat kerana pada masa ini remaja berusia 15 dan 16 tahun pun tengok, mereka jadi macam gila apabila nampak perempuan.
“Keadaan persekitaran pada masa ini juga adalah sangat teruk dan kita perlu mengenakan tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah dengan mengenakan hukuman berat. Moral kita pada masa ini sudah teruk, sudah runtuh, tak ada moral langsung.
“Kalau ada undang-undang tak kuatkuasa pun tak guna. Perkara utama dalam hal ini bukan undang-undang sahaja tetapi peranan yang perlu kita mainkan seperti ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Berpegang kepada kata-kata bekas perdana menteri itu, pembanterasan gejala sosial itu adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan sahaja diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan.
Komitmen semua pihak diperlukan bagi mewujudkan satu tindakan bersepadu sesama agensi kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.
Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir Abdullah ketika membentangkan kertas kerja berkaitan menangani gejala sosial menurut perspektif Islam di Melaka, baru-baru ini berkata, semua pihak mesti berasa risau dengn gejala sosial kerana takut Allah akan menghancurkan binasakan semua kita.
Seperti firman Allah s.w.t yang katanya bermaksud: “Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat) lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkan sehancur-hancurnya.”
Sehubungan itu, dalam menghadapi gejala sosial yang melanda negara kita ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama kerana semua pihak akan terpalit jika ditimpa musibah.
Dalam menangani gejala sosial, satu pelan bertindak yang rapi serta tindakan yang berterusan perlu diambil dalam usaha untuk menangani feneomena gejala sosial di kalangan masyarakat kita.
Kerajaan, pihak berwajib, pemimpin, masyarakat, guru dan pensyarah, ibu bapa dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam menangani permasalah berkenaan.
Ibu bapa yang tidak memantau dan mengambil berat perkembangan sosial anak-anak adalah antara punca mengapa remaja kita mudah terjebak dalam gejala sosial.
Dr Amini Amir berkata, ibu bapa yang terlalu mengikut kehendak anak hingga dibiarkan bebas boleh menyebabkan anak berada di luar kawalan dan bertindak di luar daripada batasan agama.
Banyak gejala sosial yang berkait rapat dengan kurangnya pengawasan dan kawalan terhadap kehendak dan perbuatan anak.
Sehubungan itu, katanya, selepas ibu bapa berusaha untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah anak, ibu bapa perlu berdoa dan bertawakal serta berserah diri kepada Allah.
Persoalannya sekarang, sikap anak kita banyak berpunca daripada didikan keagamaan dan kerohanian yang tidak seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Dalam hal ini, Dr Amini Amir berkata, gambaran yang diperolehi daripada persekitaran dan masyarakat kita hari ini ialah salah faham terhadap konsep kebebasan di kalangan anak dan ibu bapa banyak mempengaruhi faktor kepada meruncingknya gejala sosial ini.
Menurutnya, konsep kebebasan Bbarat perlu digantikan dengan konsep kebebasan Islam kerana ibu bapa yang sayang kepada anak adalah mereka yang menjaga, mendidik, mengasuh dan memberi pendidikan yang sewajarnya kepada anak.
Pada masa ini apa yang kita lihat ialah ramai ibu bapa dan anak yang tidak memahami tanggungjawab masing-masing sehingga menjadi antara faktor berlaku gejala sosial.
Fenomena ini adalah kerana tuntutan kehidupan masyarakat pada hari ini yang lebih banyak berkisar kepada mengejar kebendaan sehingga melupakan kepada keperluan kehidupan itu sendiri yang perlu diisi supaya tidak lari daripada tuntutan kehidupan sebenarnya.
Pihak berwajib perlu melihat keseimbangan kemajuan dan pembangunan insan dalam aspek pembangunan rohani, jasmani, emosi, fizikal, mental dan spiritual.
Kebebasan yang keterlaluan yang diberikan kepada generasi pasca merdeka banyak dikesan disalahgunakan dan semakin dilihat melalaikan sehingga menjadi duri dalam daging kepada kehidupan anak muda pada masa ini yang menyumbang kepada banyak kes gejala sosial di Malaysia.
Hiburan terlalu dipentingkan dan dibudayakan hingga masyarakat hilang budaya untuk mengagungkan budaya ilmu dan pembelajaran serta lari daripada tujuan kehidupan sebenar dan hanya suka kepada keseronokan yang sementara.
-dipetik dari www.raudhah.com